JADUAL SPESIFIKASI UJIAN (JSU)
Penggubalan
sesuatu kertas ujian perlu mengikut spesifikasi ujian yang ditetapkan. Beberapa
pertimbangan perlu dibuat, seperti ujian yang hendak ditadbirkan
sebaiknyamewakili keseluruhan sukatan pelajaran, yang mungkin merangkumi komponenpengetahuan,
kemahiran dan sikap yang telah ditetapkan. Pertimbangan ini dibuat
untukmemastikan para pelajar diuji dengan menggunakan soalan yang relevan
dengan sukatan pelajaran/objektif pengajaran.Pengubalan kertas ujian perlu
mengikuti pelbagai proses, termasuk penyediaan JSU, membuat ujian rintis dan
memurnikan item ujian. Akhir sekali, sebelum ujian tersebut ditadbirkan,
item-item ujian hendaklah dinilai oleh pakar mata pelajaran tertentu.
Keseluruhan
proses ini boleh membantu untuk memastikan kualiti item ujian dari segi
kebolehpercayaan, kesahan, dan seterusnya, pengukuran yang adil (Hale, 1980).
Menurut Kubiszyn dan Borich (2003), JSU (Test Specification Table) adalah carta
duahala yang mengaitkan objektif pengajaran dengan kandungan pengajaran. Lajur
carta ini menyenaraikan objektif-objektif pengajaran, sementara baris carta ini
pula menyenaraikan konsep-konsep utama yang diajar dan ingin diukur. Dengan
demikian, JSU boleh menjadi panduan kepada guru tentang sukatan pelajaran yang
perlu diajar dan objektif pengajaran yang perlu dicapai pelajar.
Dari segi pembinaan item ujian pula, JSU akan
menjadi panduan kepada guru supaya item-item yang dibina merangkumi semua
kandunganpengajaran daripada awal hingga akhir. Dengan demikian, JSU seharusnya
dibina seawall mungkin, misalnya sebelum kita memulakan pengajaran.
Langkah Pembinaan JSU
Dalam pembinaan JSU, anda perlu membuat empat langkah,
iaitu:
1)
mengkaji sukatanpelajaran
2)
menganalisis objektif pengajaran
3)
menentukan jenis soalan
4)
menentukan bilangan soalan.
1.
Mengkaji Sukatan Pelajaran
Anda perlu
mengkaji sukatan pelajaran untuk memperoleh maklumat yang menyeluruh tentang
kurikulum yang telah dibina. Kandungan sukatan pelajaran perlu dianalisis untuk
menentukan kepentingan tiap-tiap tajuk kandungannya. Antara aspek-aspek yang
dikaji ialah:
ü skop
dan kedalaman pengajaran bagi sesuatu tajuk
ü pendekatan
yang telah diambil dalam pengajaran sesuatu tajuk
ü kepentingan
bandingan di antara satu tajuk dengan tajuk-tajuk lain
ü kompleksiti
sesuatu tajuk
ü masa
pengajaran yang diperuntukkan bagi sesuatu tajuk.
2.
Menganalisis Objektif Pengajaran
Di samping
mengkaji sukatan pelajaran, objektif pengajaran dianalisis untuk menentukan
pengetahuan dan kemahiran yang perlu diuji dan pada tahap kesukaran mana ia
perlu diuji. Lazimnya aras pengetahuan dan kemahiran diasaskan kepada
pembahagian yang dibuat oleh Bloom dan rakan-rakannya, seperti yang dijelaskan
dalam tajuk sebelum ini.
Maklumat-maklumat
di atas adalah amat penting kepada penggubal kertas ujian dan pembina soalan
ujian untuk menentukan jenis dan bilangan soalan yang perlu dibina. Berdasarkan
penganalisisan inilah JSU dibina. Lazimnya JSU mengandungi dua paksi utama,
iaitu:
i. Paksi Kandungan Paksi Objektif Pengajaran:
Kandungan Pengetahuan
• Tajuk
• Tajuk kecil
Objektif Kognitif
Kandungan Kemahiran
• Tajuk
• Tajuk kecil
·
Objektif Psikomotor
Kandungan Afek/Perasaan
• Tajuk
• Tajuk kecil
Objektif Afektif
Kedua-dua paksi ini akan
mewujudkan sel-sel yang perlu diisi dengan pemberatan soalan, yang
dipertimbangkan dari segi kepentingan kandungan/tajuk/tajuk kecil, yang
biasanya ditunjuk dengan menggunakan bilangan soalan.
3. Menentukan Jenis Soalan
Bagi menentukan
jenis soalan yang sesuai, kita perlu terlebih dahulu menentukan domain objektif
pengajaran (kognitif, psikomotor, afektif atau sosial) dan peringkat objektif
pengajaran yang ingin diukur.
Misalnya, jika
kita ingin mengukur domain kognitif bagi mata pelajaran Bahasa Melayu bagi
tajuk “Struktur ayat” pada peringkat “Aplikasi”, maka jenis soalan yang sesuai
ialah soalan jenis “Objektif” yang berbentuk “melengkapkan ayat” atau soalan
jenis “Subjektif” yang berbentuk “menggubal ayat-ayat”. Jenis-jenis soalan/item
dan cara membinanya akan dijelaskan dengan lebih lanjut kemudian.
4. Menentukan Bilangan Soalan
Jumlah soalan
harus mencukupi untuk mewakili kandungan pengajaran, domain objektif pengajaran
dan peringkat objektif pengajaran yang hendak diukur. Jumlah soalan adalah
penting kerana ia mempengaruhi kebolehpercayaan dan kesahan sesuatu ujian.
Secara
ringkasnya, kebolehpercayaan ujian bermaksud keupayaan sesuatu ujian member
markah yang sama, sekiranya pelajar menjawab semula ujian tersebut. Kesahan
ujian pula bermaksud keupayaan sesuatu soalan mengukur apa yang ujian itu ingin
mengukur.Perkara-perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut kemudian.
Kepentingan JSU
JPU yang dibina dengan baik akan
membantu penggubal kertas ujian dan Pembina item/soalan ujian. Antara
kepentingannya ialah:
Ø
kertas ujian dapat digubal secara sistematik
Ø
kesahan dari segi persampelan sukatan pelajaran
adalah terjamin
Ø
taburan soalan mengikut tajuk adalah seimbang
Ø
ujian
meliputi keseluruhan sukatan pelajaran
Ø
aras kesukaran ujian dapat dikekalkan dari tahun
ke tahun, walaupun item dibina oleh pembina lain.
LANGKAH AM PENYEDIAAN ITEM UJIAN
Terdapat lima (5) langkah am pembinaan item ujian, iaitu
1.
meyediakan JPU
2.
menulis item ujian
3.
menyemak item ujian
4.
menilai item ujian
5.
membuat kajian
rintis terhadap keseluruhan item.
1. Menyediakan JPU
Langkah awal
dalam pembinaan item ujian ialah menyediakan JSU seperti yang dijelaskan
sebelum ini, iaitu mengkaji sukatan pelajaran, menganalisis objektif
pengajaran, menentukan jenis soalan dan menentukan bilangan soalan.
Tujuan utama
penyediaan JSU ialah supaya item-item ujian yang dibina itu mewakili
keseluruhan kandungan pelajaran mengikut domain dan peringkat objektif
pengajaran yang ditentukan sebelum pengajaran dimulakan. Perancangan awal ini
dapat menjamin soalan-soalan ujian yang terhasil akan dapat mengukur
pengetahuan, kemahiran atau sikap yang kita ingin pelajarpelajar kita kuasai.
Objektif
pengajaran juga menjadi panduan kepada kita tentang bentuk soalan yang akan
digunakan. Sebagai contoh, soalan berbentuk penyelesian masalah perlu dibina
sekiranya kita ingin mengukur keupayaan pelajar kita menyelesaikan masalah
matematik. Sekiranya kita ingin pelajar memahami kesan sejarah ke atas
perpaduan kaum, misalnya, mungkin soalan subjektif berjawapan panjang adalah
lebih sesuai daripada soalan objektif. Seterusnya, jika pelajar dikehendaki
mengingat tarikh penting dalam sejarah, mungkin soalan beraneka pilihan/mengisi
tempat kosong adalah lebih sesuai.
2. Menulis Item Ujian
Sebaik sahaja
anda siap menyediakan JSU (yang sebaiknya mengandungi jenis dan bilangan item
ujian bagi setiap tajuk dan objektif pengajaran), anda telah bersedia untuk
membina/menulis item-item ujian. Walaupun terdapat bentuk item ujian, seperti
item beraneka pilihan (multiple-choice item), item mengisi tempat kosong
(fill-in-the-blank item), item berjawapan pendek (short-answer item), item
betul-salah (true-false item), item padanan (matching item) atau item esei
(essay item), terdapat beberapa prinsip pembinaan item yang sama, yang boleh
digunakan untuk menulis item-item ini. Prinsip-prinsip tersebut dijelaskan
dalam bahagian berikut.
• Arahan menjawab
bagi setiap item hendaklah ringkas dan mudah difahami pelajar, misalnya,
“Sila isikan ruang
kosong dalam soalan berikut dengan satu perkataan sahaja”.
• Menggunakan bahasa
yang mudah dan jelas supaya pelajar dapat memahami maklumat
dalam soalan dan juga
kehendak soalan tersebut, yang seterusnya akan membantu pelajar
memberi jawapan
seperti yang dikehendaki oleh soalan.
• Membina item yang
memerlukan jawapan berkaitan pengetahuan/kemahiran yang spesifik
daripada tajuk
pengajaran tertentu, dan bukannya berbentuk pengetahuan/ kepintaran am.
• Biasanya, kita
meminta pelajar memberi jawapan yang “benar”, tetapi ada kalanya
kita meminta mereka
memberi jawapan yang “tidak benar”. Dalam keadaan ini, arahan
menjawab hendaklah
jelas, seperti menggunakan huruf besar.
• Bagi item berkaitan
pengiraan atau lukisan, nyatakan unit dan ketepatan ukuran yang
dikehendaki. Contohnya,
unit ukuran dalam meter dan tepat kepada dua titik perpuluhan.
3. Menyemak Item Ujian
Selepas semua item ujian siap
ditulis, kita perlu menyemak semula item-item tersebut. Semakan ini perlu
dibuat bagi menentukan perkara-perkara berikut:
·
Arahan menjawab bagi setiap bahagian ujian dan
setiap soalan adalah tepat dan mudah difahami pelajar.
·
Soalan ditulis dengan menggunakan bahasa yang
mudah difahami pelajar dan mengandungi maklumat dan kehendak soalan yang jelas
dan mencukupi.
·
Soalan yang dibina mencukupi dan seimbang dari
segi kandungan dan objektif pengajaran.
·
Soalan yang diberi, terutama soalan jenis objek,
tidak mengandungi petanda (clue) kepada jawapan yang dikehendaki.
4.Menilai Item Ujian
Selepas semua
item ujian disemak oleh pembina/penulisnya, item-item ini perlu disemak dan
dinilai oleh pakar mata pelajaran. Semakan dan penilaian ini perlu dibuat bagi
menentukan perkara-perkara yang hampir sama dengan apa yang disebut di atas,
iaitu:
·
Arahan menjawab dan bahasa yang digunakan dalam
soalan adalah mudah difahami pelajar.
·
Soalan dan kehendak soalan adalah jelas dan
soalan mengandungi maklumat yang cukup untuk pelajar menjawabnya.
·
Soalan-soalan yang dibina adalah mencukupi dan
semimbang untuk mengukur kandungan dan objektif pengajaran yang ditetapkan.
·
Jawapan yang diberikan oleh penulis adalah
mengikut kehendak soalan dan boleh dijawab dalam masa yang diperuntukkan.
5. Membuat Kajian Rintis Terhadap
Keseluruhan Item
Selepas semua
item ujian disemak dan dinilai oleh pakar mata pelajaran, sebaiknya, kajian
rintis dibuat terhadap keseluruhan item/kertas ujian. Kajian rintis di sini
bermaksud kajian awal tentang kesesuain item-item kepada pelajar yang setara
dari segi keupayaan dengan pelajar sasaran.
Biasanya, kajian
rintis tidak dibuat untuk menjaga kerahsiaan ujian. Bagaimanapun, kajian rintis
perlu dibuat untuk soalan-soalan yang ingin disimpan dalam bank soalan. Kajian
rintis begini perlu dibuat bagi menentukan perkara-perkara berikut:
·
Arahan menjawab dan bahasa yang digunakan dalam
soalan dapat difahami pelajar dan tidak ada kesilapan ejaan/istilah yang
digunakan.
·
Soalan dan kehendak soalan adalah jelas dan
soalan mengandungi maklumat yang cukup untuk pelajar menjawabnya.
·
Soalan-soalan yang diberikan adalah sepadan
dengan kandungan pelajaran yang diajar guru dan tidak ada soalan yang
“terkeluar” daripada kandungan tersebut.
·
Pelajar dapat menjawab soalan-soalan dalam masa
yang diperuntukkan mengikut kehendak soalan.
#Semoga nota-nota ini mampu membantu kalian dalam pelajaran. Moga terus mencari ilmu dan peroleh redha Ilahi.. Ikhlaskan hati :) Moga Allah redha
#Semoga nota-nota ini mampu membantu kalian dalam pelajaran. Moga terus mencari ilmu dan peroleh redha Ilahi.. Ikhlaskan hati :) Moga Allah redha
No comments:
Post a Comment