Monday, 8 July 2013

Topik 5: Jenis Penilaian Bahasa


Jenis-Jenis Penilaian

Banyak cara kita boleh mengkelaskan penilaian. Penilaian yang dibuat berasaskan tujuan dan masa boleh dikelaskan kepada penilaian formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik dan alternatif. Penilaian pengajaran juga boleh dilakukan melalui pelbagai hasil pembelajaran pelajar seperti disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar dan oral pelajar.

Justeru ujian yang dibina perlu mencerminkan tujuan dan masa sesuatu penilaian dilakukan. Terdapat dua jenis penilaian berdasarkan kepada masa dan tujuan pelaksanaan penilaian iaitu penilaian formatif dan sumatif.

1.       Penilaian Formatif

Penilaian formatif digunakan untuk mengesan kemajuan yang dicapai oleh pelajar dalam unit-unit pelajaran yang diajar. Penilaian formatif dilakukan bagi memastikan pelajar telah menguasai setiap unit pelajaran sebelum mereka diperkenalkan dengan unit pelajaran baru seterusnya.

Penilaian formatif sangat berguna bagi tujuan diagnosis. Dengannya punca-punca kelemahan pelajar dapat dikesan. Penilaian formatif dapat menentukan samada pelajar telah bersedia untuk mengikuti pelajaran berikutnya yang lebih tinggi dan rumit. Penilaian formatif juga boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar. Penggunaan penilaian formatif sangat ditekankan di sekolah.

Memandangkan laporan penilaian formatif adalah untuk tujuan diagnosis kelemahan pelajar dalam unit-unit pelajaran, pelaporan penilaian formatif amat sesuai dirumuskan sebagai “menguasai” atau “tidak menguasai” sesuatu isi unit pelajaran. Pencapaian ujian formatif tidak sesuai digred.

Guru sepatutnya memberi penerangan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai tujuan penilain formatif iaitu sebagai ujian diagnostik yang dapat mengesan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Maklumat yang diperoleh seharusnya terus digunakan untuk memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran. Daripada kelemahan ini, guru dan pelajar dapat mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang akhirnya membantu mempertingkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan.

Bagi memastikan penilaian formatif ini berkesan, prosedur berikut perlu diberi perhatian oelh guru:
·         menentukan tajuk pengajaran
·         menentukan aspek penguasaan
·         menghubungkait elemen-elemen dalam tajuk
·         membina soalan ujian
·         mencadangkan tindakan susulan

2.       Penilaian Sumatif

Penilaian sumatif pula digunakan bagi menentukan tahap penguasaan pelajar dalam keseluruhan kursus. Penilaian sumatif biasanya dilakukan pada akhir sesi kursus. Contoh penilaian sumatif ialah ujian akhir semester.

Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir kursus, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan kemajuan pelajar daripada memperbaiki kelemahan awal pengajaran pensyarah dan pembelajaran pelajar.

Secara am, tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu pelajar meningkatkan pencapaian, tetapi untuk memberikan gred kepada mereka. Gred yang diperoleh boleh digunakan untuk membuat perbandingan pencapaian dikalangan pelajar. penilaian suamtif juga dapat dijadikan petunjuk samada pelajar akan berjaya mengikuti sesuatu mata pelajaran baru atau tidak.

Bagi memastikan penilaian sumatif, langkah-langkah berikut harus diambil semasa menggubal ujian:
·         membentuk jadual penentu ujian
·         membina soalan
·         mengumpul soalan secara sistematik
·         menguji soalan melalui kajian rintis
·         menyiapkan skema pemarkahan


3.       Ujian Kefasihan

Untuk kefasihan digunakan untuk menentukan tahap mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa. Digunakan untuk menempatkan seseorang dalam kumpulan pembelajaran yang sesuai dan pengetahuan dan kebolehan mereka.

Ujian ini dilakukan bagi menentukan setakat mana murid mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa secara keseluruhan.

Ia berbeza dengan ujian pencapaian kerana ujian kefasihan tidak berdasarkan kepada sesuatu isi pelajaran sebaliknya menilai kebolehan global (umum) pada bahasa yang dipelajari murid terbabit.

Ujian ini sering digunakan bagi menempatkan seseorang dalam kumpulan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehannnya. Ia dinilai dari segi :
·         Penyebutan dan pengucapan dengan betul dan jelas
·         Intonasi dan nada yang betul.
·          Pemilihan ungkapan yang betul.
·         Mimik muka yang jelas sesuai untuk membayangkan sesuatu maksud dengan jelas.
·         Posisi tubuh yang betul.
·         Pergerakan mata (mata pembaca yang lemah akan berhenti untuk mennyerap perkataan).


4.       Ujian Kemajuan

Ujian Kemajuan digunakan di dalam bilik darjah dan hanya dinilai oleh guru kelas. Untuk kemajuan bertujuan untuk mengukur dan menilai setakat mana pelajar-pelajar telah menguasai bahan/perkara –perkara yang diajar tentang 1 tajuk tertentu.
·         Setiap ujian kemajuan yang digunakan dalam bilik darjah adalah khusus bagi sesuatu darjah dan hanya sesuai dinilai oleh guru kelas sahaja.
·         Ia juga hendaklah berasaskan kepada objektif pengajaran, program pembelajaran yang telah diikuti oleh murid dan pengetahuan yang ingin diuji.
·         Ia bertujuan untuk mengukur dan menilai setakat mana murid-murid yang telah menguasai bahan atau perkara-perkara yang telah diajar tentang satu-satu tajuk tertentu.
·         Hasil daripada kemajuan membolehkan guru mengetahui dengan lebih jelas tentang kemajuan setiap murid dan juga kemajuan darjahnya secara keseluruhan


5.       Ujian Bakat

Ujian jenis ini adalah khusus untuk menelah prestasi seseorang pelajar dalam pelajaran atau kemahiran bahasa asing yang akan dipelajarinya.
·         Ujian bakat bertujuan untuk mengesan bakat seseorang pelajar dalam menguasai bahasa asing sama ada khusus pada satu-satu bahasa atau secara keseluruhan.
·         Ujian ini adalah khusus untuk menelaah potensi seseorang pelajar dalam pelajaran atau kemahiran bahasa asing yang akan dipelajari.
·         Ia melibatkan data-data bahasa yang ‘artifical’ yang mengandungi pelbagai unsur bahasa seperti fonetik, tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainnya.
·         Hasil ujian direkod dan dianalisis untuk membantu guru memahami masalah pelajar dan mengenalpasti pelajar yang berbakat untuk mempelajari sesuatu bahasa dengan cepat.


6.       Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian yang juga disebut sebagai ujian sumatif adalah jenis ujian yang diberi setelah kursus tamat dan tujuannya ialah untuk menilai hasil pengajaran. Ia diberikan untuk menilai kemajuan murid dalam pelajarannya dan juga untuk mengukur pencapaian murid secara menyeluruh.
·         Ia bertujuan untuk menentukan setakat mana pelajar telah menguasai kemahiran, bahan atau isi pelajaran yang telah diajar kepada mereka.
·      Soalan-soalan yang dikemukakan pula berkaitan dengan isi pelajaran yang telah diajar sahaja.
·   Ujian pencapaian boleh dijalankan pada akhir kursus atau setelah tamatnya sesuatu unit pembelajaran atau mengikut penggal atau semester persekolahan.
·    Ia juga merupakan peperiksaan untuk menentukan penempatan jenis sekolah dan jurusan pelajar.
·         Pembentukan ujian ini adalah berasaskan sukatan pelajaran.



#Semoga nota-nota ini mampu membantu kalian dalam pelajaran. Moga terus mencari ilmu dan peroleh redha Ilahi.. Ikhlaskan hati :) Moga Allah redha

Topik 3: Jadual Spesifikasi Ujian (JSU)


JADUAL SPESIFIKASI UJIAN (JSU)

Penggubalan sesuatu kertas ujian perlu mengikut spesifikasi ujian yang ditetapkan. Beberapa pertimbangan perlu dibuat, seperti ujian yang hendak ditadbirkan sebaiknyamewakili keseluruhan sukatan pelajaran, yang mungkin merangkumi komponenpengetahuan, kemahiran dan sikap yang telah ditetapkan. Pertimbangan ini dibuat untukmemastikan para pelajar diuji dengan menggunakan soalan yang relevan dengan sukatan pelajaran/objektif pengajaran.Pengubalan kertas ujian perlu mengikuti pelbagai proses, termasuk penyediaan JSU, membuat ujian rintis dan memurnikan item ujian. Akhir sekali, sebelum ujian tersebut ditadbirkan, item-item ujian hendaklah dinilai oleh pakar mata pelajaran tertentu.

Keseluruhan proses ini boleh membantu untuk memastikan kualiti item ujian dari segi kebolehpercayaan, kesahan, dan seterusnya, pengukuran yang adil (Hale, 1980). Menurut Kubiszyn dan Borich (2003), JSU (Test Specification Table) adalah carta duahala yang mengaitkan objektif pengajaran dengan kandungan pengajaran. Lajur carta ini menyenaraikan objektif-objektif pengajaran, sementara baris carta ini pula menyenaraikan konsep-konsep utama yang diajar dan ingin diukur. Dengan demikian, JSU boleh menjadi panduan kepada guru tentang sukatan pelajaran yang perlu diajar dan objektif pengajaran yang perlu dicapai pelajar.

 Dari segi pembinaan item ujian pula, JSU akan menjadi panduan kepada guru supaya item-item yang dibina merangkumi semua kandunganpengajaran daripada awal hingga akhir. Dengan demikian, JSU seharusnya dibina seawall mungkin, misalnya sebelum kita memulakan pengajaran.

Langkah Pembinaan JSU

Dalam pembinaan JSU, anda perlu membuat empat langkah, iaitu:
1)      mengkaji sukatanpelajaran
2)      menganalisis objektif pengajaran
3)      menentukan jenis soalan
4)      menentukan bilangan soalan.


1.       Mengkaji Sukatan Pelajaran

Anda perlu mengkaji sukatan pelajaran untuk memperoleh maklumat yang menyeluruh tentang kurikulum yang telah dibina. Kandungan sukatan pelajaran perlu dianalisis untuk menentukan kepentingan tiap-tiap tajuk kandungannya. Antara aspek-aspek yang dikaji ialah:

ü  skop dan kedalaman pengajaran bagi sesuatu tajuk
ü  pendekatan yang telah diambil dalam pengajaran sesuatu tajuk
ü  kepentingan bandingan di antara satu tajuk dengan tajuk-tajuk lain
ü  kompleksiti sesuatu tajuk
ü  masa pengajaran yang diperuntukkan bagi sesuatu tajuk.


2.       Menganalisis Objektif Pengajaran

Di samping mengkaji sukatan pelajaran, objektif pengajaran dianalisis untuk menentukan pengetahuan dan kemahiran yang perlu diuji dan pada tahap kesukaran mana ia perlu diuji. Lazimnya aras pengetahuan dan kemahiran diasaskan kepada pembahagian yang dibuat oleh Bloom dan rakan-rakannya, seperti yang dijelaskan dalam tajuk sebelum ini.

Maklumat-maklumat di atas adalah amat penting kepada penggubal kertas ujian dan pembina soalan ujian untuk menentukan jenis dan bilangan soalan yang perlu dibina. Berdasarkan penganalisisan inilah JSU dibina. Lazimnya JSU mengandungi dua paksi utama, iaitu:

i. Paksi Kandungan Paksi Objektif Pengajaran:

Kandungan Pengetahuan
• Tajuk
• Tajuk kecil Objektif Kognitif

Kandungan Kemahiran
• Tajuk
• Tajuk kecil
·         Objektif Psikomotor

Kandungan Afek/Perasaan
• Tajuk
• Tajuk kecil

Objektif Afektif

Kedua-dua paksi ini akan mewujudkan sel-sel yang perlu diisi dengan pemberatan soalan, yang dipertimbangkan dari segi kepentingan kandungan/tajuk/tajuk kecil, yang biasanya ditunjuk dengan menggunakan bilangan soalan.


3. Menentukan Jenis Soalan

Bagi menentukan jenis soalan yang sesuai, kita perlu terlebih dahulu menentukan domain objektif pengajaran (kognitif, psikomotor, afektif atau sosial) dan peringkat objektif pengajaran yang ingin diukur.

Misalnya, jika kita ingin mengukur domain kognitif bagi mata pelajaran Bahasa Melayu bagi tajuk “Struktur ayat” pada peringkat “Aplikasi”, maka jenis soalan yang sesuai ialah soalan jenis “Objektif” yang berbentuk “melengkapkan ayat” atau soalan jenis “Subjektif” yang berbentuk “menggubal ayat-ayat”. Jenis-jenis soalan/item dan cara membinanya akan dijelaskan dengan lebih lanjut kemudian.


4. Menentukan Bilangan Soalan

Jumlah soalan harus mencukupi untuk mewakili kandungan pengajaran, domain objektif pengajaran dan peringkat objektif pengajaran yang hendak diukur. Jumlah soalan adalah penting kerana ia mempengaruhi kebolehpercayaan dan kesahan sesuatu ujian.

Secara ringkasnya, kebolehpercayaan ujian bermaksud keupayaan sesuatu ujian member markah yang sama, sekiranya pelajar menjawab semula ujian tersebut. Kesahan ujian pula bermaksud keupayaan sesuatu soalan mengukur apa yang ujian itu ingin mengukur.Perkara-perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut kemudian.


Kepentingan JSU

JPU yang dibina dengan baik akan membantu penggubal kertas ujian dan Pembina item/soalan ujian. Antara kepentingannya ialah:

Ø  kertas ujian dapat digubal secara sistematik
Ø  kesahan dari segi persampelan sukatan pelajaran adalah terjamin
Ø  taburan soalan mengikut tajuk adalah seimbang
Ø   ujian meliputi keseluruhan sukatan pelajaran
Ø  aras kesukaran ujian dapat dikekalkan dari tahun ke tahun, walaupun item dibina oleh pembina lain.



LANGKAH AM PENYEDIAAN ITEM UJIAN

Terdapat lima (5) langkah am pembinaan item ujian, iaitu
1.       meyediakan JPU
2.       menulis item ujian
3.       menyemak item ujian
4.       menilai item ujian
5.        membuat kajian rintis terhadap keseluruhan item.



1. Menyediakan JPU
Langkah awal dalam pembinaan item ujian ialah menyediakan JSU seperti yang dijelaskan sebelum ini, iaitu mengkaji sukatan pelajaran, menganalisis objektif pengajaran, menentukan jenis soalan dan menentukan bilangan soalan.

Tujuan utama penyediaan JSU ialah supaya item-item ujian yang dibina itu mewakili keseluruhan kandungan pelajaran mengikut domain dan peringkat objektif pengajaran yang ditentukan sebelum pengajaran dimulakan. Perancangan awal ini dapat menjamin soalan-soalan ujian yang terhasil akan dapat mengukur pengetahuan, kemahiran atau sikap yang kita ingin pelajarpelajar kita kuasai.

Objektif pengajaran juga menjadi panduan kepada kita tentang bentuk soalan yang akan digunakan. Sebagai contoh, soalan berbentuk penyelesian masalah perlu dibina sekiranya kita ingin mengukur keupayaan pelajar kita menyelesaikan masalah matematik. Sekiranya kita ingin pelajar memahami kesan sejarah ke atas perpaduan kaum, misalnya, mungkin soalan subjektif berjawapan panjang adalah lebih sesuai daripada soalan objektif. Seterusnya, jika pelajar dikehendaki mengingat tarikh penting dalam sejarah, mungkin soalan beraneka pilihan/mengisi tempat kosong adalah lebih sesuai.


2. Menulis Item Ujian

Sebaik sahaja anda siap menyediakan JSU (yang sebaiknya mengandungi jenis dan bilangan item ujian bagi setiap tajuk dan objektif pengajaran), anda telah bersedia untuk membina/menulis item-item ujian. Walaupun terdapat bentuk item ujian, seperti item beraneka pilihan (multiple-choice item), item mengisi tempat kosong (fill-in-the-blank item), item berjawapan pendek (short-answer item), item betul-salah (true-false item), item padanan (matching item) atau item esei (essay item), terdapat beberapa prinsip pembinaan item yang sama, yang boleh digunakan untuk menulis item-item ini. Prinsip-prinsip tersebut dijelaskan dalam bahagian berikut.

• Arahan menjawab bagi setiap item hendaklah ringkas dan mudah difahami pelajar, misalnya,
“Sila isikan ruang kosong dalam soalan berikut dengan satu perkataan sahaja”.

• Menggunakan bahasa yang mudah dan jelas supaya pelajar dapat memahami maklumat
dalam soalan dan juga kehendak soalan tersebut, yang seterusnya akan membantu pelajar
memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh soalan.

• Membina item yang memerlukan jawapan berkaitan pengetahuan/kemahiran yang spesifik
daripada tajuk pengajaran tertentu, dan bukannya berbentuk pengetahuan/ kepintaran am.

• Biasanya, kita meminta pelajar memberi jawapan yang “benar”, tetapi ada kalanya
kita meminta mereka memberi jawapan yang “tidak benar”. Dalam keadaan ini, arahan
menjawab hendaklah jelas, seperti menggunakan huruf besar.

• Bagi item berkaitan pengiraan atau lukisan, nyatakan unit dan ketepatan ukuran yang
dikehendaki. Contohnya, unit ukuran dalam meter dan tepat kepada dua titik perpuluhan.


3. Menyemak Item Ujian

Selepas semua item ujian siap ditulis, kita perlu menyemak semula item-item tersebut. Semakan ini perlu dibuat bagi menentukan perkara-perkara berikut:

·         Arahan menjawab bagi setiap bahagian ujian dan setiap soalan adalah tepat dan mudah difahami pelajar.
·         Soalan ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami pelajar dan mengandungi maklumat dan kehendak soalan yang jelas dan mencukupi.
·         Soalan yang dibina mencukupi dan seimbang dari segi kandungan dan objektif pengajaran.
·         Soalan yang diberi, terutama soalan jenis objek, tidak mengandungi petanda (clue) kepada jawapan yang dikehendaki.

4.Menilai Item Ujian

Selepas semua item ujian disemak oleh pembina/penulisnya, item-item ini perlu disemak dan dinilai oleh pakar mata pelajaran. Semakan dan penilaian ini perlu dibuat bagi menentukan perkara-perkara yang hampir sama dengan apa yang disebut di atas, iaitu:

·         Arahan menjawab dan bahasa yang digunakan dalam soalan adalah mudah difahami pelajar.
·         Soalan dan kehendak soalan adalah jelas dan soalan mengandungi maklumat yang cukup untuk pelajar menjawabnya.
·         Soalan-soalan yang dibina adalah mencukupi dan semimbang untuk mengukur kandungan dan objektif pengajaran yang ditetapkan.
·         Jawapan yang diberikan oleh penulis adalah mengikut kehendak soalan dan boleh dijawab dalam masa yang diperuntukkan.


5. Membuat Kajian Rintis Terhadap Keseluruhan Item

Selepas semua item ujian disemak dan dinilai oleh pakar mata pelajaran, sebaiknya, kajian rintis dibuat terhadap keseluruhan item/kertas ujian. Kajian rintis di sini bermaksud kajian awal tentang kesesuain item-item kepada pelajar yang setara dari segi keupayaan dengan pelajar sasaran.

Biasanya, kajian rintis tidak dibuat untuk menjaga kerahsiaan ujian. Bagaimanapun, kajian rintis perlu dibuat untuk soalan-soalan yang ingin disimpan dalam bank soalan. Kajian rintis begini perlu dibuat bagi menentukan perkara-perkara berikut:

·         Arahan menjawab dan bahasa yang digunakan dalam soalan dapat difahami pelajar dan tidak ada kesilapan ejaan/istilah yang digunakan.
·         Soalan dan kehendak soalan adalah jelas dan soalan mengandungi maklumat yang cukup untuk pelajar menjawabnya.
·         Soalan-soalan yang diberikan adalah sepadan dengan kandungan pelajaran yang diajar guru dan tidak ada soalan yang “terkeluar” daripada kandungan tersebut.
·         Pelajar dapat menjawab soalan-soalan dalam masa yang diperuntukkan mengikut kehendak soalan.


#Semoga nota-nota ini mampu membantu kalian dalam pelajaran. Moga terus mencari ilmu dan peroleh redha Ilahi.. Ikhlaskan hati :) Moga Allah redha

Topik 2: Taksonomi Bloom dan Domain Krathwohl


Taksonomi Bloom

  • Taksonomi ini pertama kali disusun oleh Benjamin S. Bloom pada tahun 1956.
  • Taksonomi Bloom menitikberatkan aspek kognitif atau pengetahuan.
  • Ia bercorak hierarki (tahap rendah ke tahap tinggi). Guru akan membuat soalan pelbagai aras untuk menguji tahap berfikir pelajar.
  • Menekankan aspek kognitif (pengetahuan) – apa yang dicari adalah seperti fakta, teori, dan hukum.
  • Tujuan : membina kebolehan, pemikiran, dan pemahaman (cth : mencari isi penting daripada petikan yang dibaca)
  • Terdapat enam peringkat (tidak semestinya menggunakan kesemua peringkat ini dalam soalan – cth : pada kertas soalan tahun 1 tidak terdapat tahap sintesis kerana tahap ini merupakan tahap yang tinggi dan tidak sesuai dengan umur murid)
    1. Pengetahuan
    2. Kefahaman
    3. Aplikasi
    4. Analisis
    5. Sintesis
    6. Penilaian

Aras 1: Pengetahuan
(selalunya mengunakan kata tanya, cth : bilakah, dimanakah, mengapakah, dan sebagainya)

  • Tujuan : mengingat semula perkara-perkara yang sudah dipelajari tanpa sebarang perubahan.
  • Contoh :
    1. Bilakah Malaysia merdeka ?
    2. Berapa buah negerikah yang terdapat di Malaysia?
    3. Siapakah Bapa Kemerdekaan Malaysia?
  • Objektif
    1. Umum : mengetahui
    2. Khusus / spesifik : melebal, menyatakan, menulis (eksplisit)



Aras 2: Kefahaman
(kebolehan untuk memberi penjelasan / makna sesuatu perkara)

  • Konsep : menjelaskan maklumat dengan terperinci.
  • Merupakan peringkat yang tinggi berbanding peringkat pengetahuan.
  • Tiga aras penting :
1.       Terjemahan isi (isi kepada huraian, cth : Ibu Ali meninggal dunia.)
2.       Memberi tafsiran / makna sesuatu maklumat (cth : Setiap manusia di muka bumi ini akan menemui ajal masing-masing. )
3.       Ekstrapolasi (tafsiran lanjut berdasarkan maklumat yang digambarkan (cth : Kita sebagai manusia biasa mestilah sentiasa bersedia untuk menghadapi perkara yang berlaku pada bila-bila masa sahaja)
  • Tujuan : memahami sesuatu bahan, menjelaskan menterjemah, merumuskan,menulis, dan membezakan.
  • Cth : jelaskan, bezakan, bandingkan, ringkaskan, nyatakan, dan seumpamanya.

Aras 3: Aplikasi

  • Tujuan : menggunakan pengetahuan mujarat (abstrak) untuk menyelesaikan masalah yang maujud.
  • Objektif :
1.       Umum : menggunakan, menyelesaikan, menunjukkan
2.       Khusus / spesifik : menggunakan, menyelesaikan, mengira, menghubungkan, mengendalikan.
  • Cth : soalan yang menggunakan perkataan bagaimana dan jelaskan.
  • Menekankan kaedah, prinsip, hukum, dan teori.

 Aras 4: Analisis 
(mengenal pasti sebab secara terperinci)

  • Definisi : kebolehan untuk menceritakan dan menyusun perkara-perkara yang telah dipelajari kepada beberapa bahagian.
  • Tujuan : menaakul (mencari) sebab dan musabab (akibat)
  • Cth :
1.       Berikan faktor, punca-punca, sebab-sebab, mengapakah perkara tersebut berlaku.
2.       Meleraikan sesuatu komunikasi kepada beberapa bahagian.
  • Objektif
1.       Am : mencerakinkan, menaakul, menjelaskan, menilai kerelevenan data.
2.       Spesifik : mencerakinkan, mengasingkan, membahagikan, menjelaskan srtuktur dan organisasi.
- Cth : Yang manakah antara berikut tidak menerangkan cirri criteria yang betul?
- Cth : Yang manakah antara berikut merupakan kata kerja?
  • Kosa kata popular : bezakan, bandingkan, asingkan, tafsirkan bahagian, klasifikasikan, sebab, mengapa, huraikan, menaakul, mencerakinkan.

Aras 5: Sintesis 
(lebih kepada sains, BM- karangan)

  • Menguji kebolehan calon mencantumkan, mengabungkan, dan meintegtrasikan fakta atau idea yang berkaitan (mengembang fakta menggunakan ayat sendiri)
  • Tujuan : membentuk sesuatu yang baharu.
  • Objektif :
1.       Am : menulis karangan, mencadangkan sesuatu pandangan, menghasilkan karya
2.       Spesifik : mengabungkan, mengubah, mereka cipta, merancang, menulis
  • Cth : Berdasarkan tajuk “saya sebatang pen” bina ayat-ayat yang dapat menerangkan mengenai pen tersebut.
  • Kosa kata popular : mereka bentuk, kumpulkan, susunkan, gubahkan.
  • Cth mencadangkan : senaraikan beberapa cara kamu boleh mengatasi masalah itu.

Aras 6: Penilaian

  • Menguji kebolehan calon, membuktikan, menilai, mengesahkan, mengkritik, memberi pendapat mengenai sesuatu peryataan, dll.
  • Tujuan : membuat penilaian dan pertimbangan berdasarkan kretiria tertentu.
  • Objektif :
    1. Am : menimbangkan nilai, ketekalan, kecukupan data.
    2. Spesifik : menilai, membuat pertimbangan.
  • Jenis : sejauh mana, nilaikan, apakah pendapat kamu.
    Cth : Berikan pendapat anda mengenai hal tersebut.
    : Sejauh manakan kebaikan menggunakan kereta ke kuliah.
  • Kasa kata popular : nilaikan, rumuskan, tafsirkan, kritikkan, bandingkan, ulaskan, huraikan, buktikan.
  • Cth :
    1. Pada pendapat kamu, ujian apakah yang sesuai diberikan kepada murid tahun enam?
    2. Berbagai faktor perlu dipertimbangkan dalam proses penilaian program. Bandingkan.


Domain Afektif Kalthwohl 1964

  • Diasaskan oleh, David R. Krathwohl
  • Merupakan bidang berhubung dengan perasaan, emosi dan sikap.
  • Guru harus berkebolehan menggunakan unsur afektif untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran yang baik.
  • Pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan dengan adanya murid yang dapat membentuk sikap positif.
  • Terdapat 5 peringkat bagi domain ini :
    1. Penerimaan
    2. Bertindak balas
    3. Menilai
    4. Organisasi
    5. Perwatakan
  

Peringkat 1: Penerimaan

  • Keinginan dan kesanggupan menerima
    (kesanggupan memberi perhatian, mendengar ucapan, pendapat orang lain, menghormati kebudayaan yang berlainan)
  • Kesedaran
    (faktor estitik, ekabentuk, kecantikan sesuatu benda, pelbagai pendapat dalam sesuatu perkara)
  • Perhatian terkawal
    (kebolehan memberi perhatian kepada sesuatu ransangan – cth : mendengar dan menghayati sajak)
  • Objektif am :
1.       Mendengar dengan berhati-hati.
2.       Menunjukkan kesedaran dalam kepentingan pembelajaran.
3.       Menunjukkan sensitiviti dalam masalah sosial.
4.       Menerima perbezaan keturunan dan kebudayaan.
5.       Mengambil bahagian dalam aktiviti.
  • Hasil pelajaran spesifik :
1.       Menyoal
2.       Memilih
3.       Menghuraikan
4.       Mengikut
5.       Menamakan
6.       Menggunakan


Peringkat 2: Bertindak balas

  • Kesanggupan bertindak balas terhadap ransangan.
  • Mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti.
  • Murid mengambil perhatian dan bertindak balas.
  • Terdapat 3 kategori :
1.       Persetujuaan membalas (Bersetuju dengan peraturan / arahan yang diberi.)
2.        Kesediaan membalas (Bertindak balas dengan persetujuan yang dibuat.)

3.       Kepuasan (Mencapai objektif )
  • Objektif
1.       Am
  • Melengkapkan kerja
  • Mengambil bahagian dalam perbincangan kecil
  • Seronok membantu rakan
  • Melakukan tugas secara sukarela.
2.        Spesifik
  • Dapat menulis isi pelajaran
  • Menjawab soalan
  • Dapat melafazkan sesuatu (main peranan)


Peringkat 3: Menilai

  • Pada peringkat ini perlakuan adalah didasarkan atas konsep dan prinsip yang telah dinuranikan sehingga menjadi kepercayaan.
  • Perlakuan cenderung menjadi konsisten walaupun dalam keadaan yang berbeza jika kepercayaan itu boleh dipratikkan.
  • Kebolehan membuat penilaian dan memberi penghargaan terhadap sesuatu benda atau tingkah laku.
  • Penilaian berdasarkan penghayatan nilai spesifik (melalui pemerhatian)
  • Kategori
1.       Penerimaan
- Menerima dan melakukan arahan aktiviti.
2.       Pilihan
- Usaha untuk memperoleh sesuatu nilai yang dipilih.
3.       Penglibatan
- Aktif dalam aktiviti dan mematuhi peraturan.


Peringkat 4: Organisasi

  • Membawa maksud membentuk sesuatu sistem nilai.
  • Apabila lebih daripada satu nilai dinuranikan maka membolehkan beberapa nilai digunakan.
  • Pelajar terpaksa membina beberapa hubungan dan keutamaan di antara nilai-nilainya.
  • Kategori
1.       Penenggapan
-Mampu mencipta konsep anstrak.
2.       Organisasi
- Menyatukan / aplikasi nilai-nilai berkaitan dan membentuk satu sistem.


Peringkat 5: Perwatakan

  • Perubahan tingkah laku positif.
  • Kategori
    1.Set up – mengekalkan nilai-nilai
    2.Perwatakan – disiplin diri.

Di sini juga saya membuat capaian terus kepada powerpoint mengenai tajuk yang berkaitan. Moga membantu :)



#Semoga nota-nota ini mampu membantu kalian dalam pelajaran. Moga terus mencari ilmu dan peroleh redha Ilahi.. Ikhlaskan hati :) Moga Allah redha

Sunday, 7 July 2013

TAJUK 1 : PENGERTIAN DAN KONSEP


  • Pentaksiran 

Satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula, pentaksiran ialah pendekatan untuk menilai prestasi pelajar berdasarkan pemerhatian secara langsung ke atas prestasi dan hasil kerja pelajar tanpa bergantung kepada ujian bertulis.

Aspek-aspek utama dalam pentaksiran :
- Instrumen : Bahan atau alat yang digunakan untuk mengumpul data.
- Kumpulan yang ditaksir 
- Respon : Tindakbalas calon terhadap ujian yang dijalankan.
- Kumpulan yang menaksir
- Skor :Set Peraturan Memberi Markah (PMM) 

Tujuan :
- Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
- Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran.
- Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.
- Mendpatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran.

Ciri pentaksiran yang baik : 
- Mempunyai skor yang tinggi darjah kesahan
- Mempunyai skor yang tinggi darjah kebolehpercayaan
-Mempunyai keobjektifan
- Mempunyai kebolehtadbiran yang licin dan baik
- Kemudahtafsiran
- Bersifat menyeluruh


Kaedah :
- Pemerhatian (Sikap, amali, kemahiran bersosial, hasil kerja murid)
- Lisan (Murid dengan murid, murid dengan guru, murid dengan bahan pembelajaran)
- Penulisan (Hasil tugasan, soalan objektif / subjektif)

  • Pengujian 
Kaedah untuk mengenalpasti keberkesanan alat kajian seperti ujian dan soal selidik sebelum digunakan untuk mengumpul data sebenar. Ianya dilaksanakan dalam 3 peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas sesuatu pengajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, ujian ialah bahan yang bertulis atau tercetak atau terakam yang telah dibentuk oleh guru untuk menguji sesuatu kemahiran bahasa.

Jenis ujian : 
- Ujian Formatif (Bahan atau alat ujian yang dibina untuk menguji sesuatu unit -kemahiran atau subkemahiran bahasa yang telah diajar).
- Ujian Sumatif (Bahan atau alat ujian yang dibina untuk menguji pencapaian murid dalam beberapa kemahiran bahasa yang telah diajar dalam jangka masa yang panjang).

Jenis pengujian : 
- Pengujian Formal (Ditadbir secara rasmi dalam tempoh masa yang khas - UPSR, PMR, SPM).
- Pengujian Tidak Formal (Sering berlaku di dalam bilik darjah dan dilakukan secara lisan atau spontan).

  • Penilaian
Satu proses untuk memperolehi maklumat kuantitatif. Ia adalah satu  proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkahlaku dan membuat pertimbangan menilai. Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar dan keberkesanan sesebuah kurikulum.

Jenis penilaian :
- Penilaian Rujukan Norma (Penilaian ke atas pencapaian seseorang murid dibuat dengan merujuk kepada markat norma yang diperoleh oleh keseluruhan murid dalam kelas sebagai satu kumpulan).
- Penilaian Rujukan Kriteria (Satu konsep standard pencapaian yang telah ditentukan terlebih dahulu oleh penguji yang teah menyediakan sesuatu ujian).


Prinsip-prinsip asas dalam penilaian :
- Mempunyai sifat kesahan (Kesahan kandungan, gagasan, ramalan, semasa
- Mempunyai sifat kebolehpercayaan



#Semoga nota-nota ini mampu membantu kalian dalam pelajaran. Moga terus mencari ilmu dan peroleh redha Ilahi.. Ikhlaskan hati :) Moga Allah redha

Pro Forma BMM 3103


Pro Forma Kursus
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian
(Bahasa Melayu Pendidikan Rendah)

Nama Kursus
Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah
(Primary School Malay Language Assessment)
Kod Kursus
BMM3103
Kredit
3(2+1)
Jam Interaksi
60 jam
Bahasa Pengantar
Bahasa Melayu
Prasyarat
Tiada
Semester
Pertama/Kedua
Hasil Pembelajaran
1.    Menghuraikan konsep pentaksiran, pengujian, dan penilaian.
2.    Menjelaskan taksonomi Bloom, dan domain Krathwohl.
3.    Membina jadual spesifikasi ujian dan soalan ujian Bahasa Melayu;
4.    Menilai dan memilih jenis dan kaedah penilaian kemahiran bahasa dan sistem bahasa Melayu dan melaksanakan pemarkahan ujian Bahasa Melayu.
Sinopsis
Kursus ini menjelaskan pengertian dan konsep pentaksiran, pengujian dan penilaian, taksonomi dan domain, jadual spesifikasi ujian, pembinaan ujian, jenis dan kaedah penilaian bahasa, penilaian kemahiran dan aktiviti bahasa, penilaian pengalaman pembelajaran, penilaian bahasa berasaskan projek, dan penilaian berasaskan sekolah

This course explains the concept and principle of testing, evaluation and measurement, taxonomy and domain, table of test specifications, testing development, types and method of language assessment, language skills assessment and language activities, assessment of learning experience, project based language assessment and school based assessment. 




Tajuk
Kandungan
Jam
1
Pengertian dan Konsep
  • Pentaksiran
  • Pengujian
  • Penilaian
  • Perkaitan antara Pentaksiran, Pengujian dan Penilaian
2
2
Taksonomi dan Domain
·         Taksonomi Bloom
·         Domain Krathwohl
2
3
Jadual Spesifikasi Ujian (JSU)
  • Definisi
  • Kepentingan
  • Langkah Pembinaan
2
4
Pembinaan Ujian
  • Soalan Objektif
  • Soalan Subjektif
2
5
Jenis Penilaian Bahasa
·         Ujian Formatif, Sumatif
·         Ujian  Kefasihan, Kemajuan
·         Ujian Bakat, Pencapaian
2
6
Kaedah Penilaian Bahasa
  • Penilaian Melalui Portfolio
  • Penilaian Melalui Pemerhatian
2
7
Kaedah Penilaian Bahasa
  • Penilaian Melalui Kontrak Pembelajaran
  • Penilaian Melalui Soal Jawab
2
8
Kaedah Penilaian Bahasa
  • Penilaian Melalui Projek
  • Penilaian Melalui Kertas Kerja
2
9
Penilaian Kemahiran Bahasa
  • Penilaian Kemahiran Mendengar dan Bertutur
  • Penilaian Kemahiran Membaca
  • Penilaian Kemahiran Menulis
2
10
Penilaian Aktiviti Bahasa
  • Forum
  • Debat
  • Pidato
  • Pantun
  • Sajak
  • Ceramah
  • Syarahan
2
11
Penilaian Pengalaman Pembelajaran
  • Definisi
  • Ciri
2
12
Penilaian Bahasa Berasaskan Projek
  • Brosur
  • Iklan
  • Poster
  • Web
  • PowerPoint
2
13
Penilaian Berasaskan Sekolah
  • Rasional
  • Ciri
  • Prinsip
  • Aspek penilaian
2
14
Penilaian Berasaskan Sekolah
  • Instrumen
  • Penggredan
  • Prosedur pelaksanaan
  • Rumusan
2
15
Penilaian Pengalaman Pembelajaran
  • Definisi
  • Ciri
  • Pelaksanaan
2

JUMLAH
30


Tajuk
Kandungan
Jam
1
Amali
Pengertian dan Konsep
·         Mengumpul dan membincangkan kertas ujian bulanan, semester dan akhir tahun.
2
2
Taksonomi dan Domain
  • Membina soalan Bahasa Melayu mengikut aras taksonomi dan domain.
2
3
Jadual Spesifikasi Ujian (JSU)
  • Bengkel pembinaan JSU berdasarkan contoh soalan ujian Bahasa Melayu Sekolah Rendah.
2
4
Pembinaan Ujian
  • Membina soalan objektif dan subjektif dengan berdasarkan JSU.
2
5
Jenis Penilaian Bahasa
·         Membina alatan penilaian ujian kefasihan, ujian kemajuan, dan ujian bakat
2
6
Kaedah Penilaian Bahasa: Portfolio dan Pemerhatian
  • Membina instrumen bagi penilaian portfolio dan pemerhatian
2
7
Kaedah Penilaian Bahasa: Portfolio dan Pemerhatian
  • Membina alatan bagi penilaian portfolio dan pemerhatian
2
8
Kaedah Penilaian Bahasa
  • Membina instrumen penilaian melalui projek
  • Membina instrumen penilaian melalui kertas kerja.
2
9
Penilaian Kemahiran Bahasa: Membina Instrumen dan Bahan Bagi:
  • Penilaian Kemahiran Mendengar dan Bertutur
  • Penilaian Kemahiran Membaca
  • Penilaian Kemahiran Menulis
2
10
Penilaian Aktiviti Bahasa: Menilai Dengan Menggunakan Instrumen:
  • Forum
  • Debat
  • Pidato
  • Pantun
  • Sajak
  • Ceramah
  • Syarahan
2
11
Penilaian Pengalaman Pembelajaran
·         Membuat penilaian pengalaman pembelajaran di bilik darjah
2
12
Penilaian Bahasa Berasaskan Projek: Menggunakan Instrumen Dalam Penilaian:
  • Brosur
  • Iklan
  • Poster
  • Web
  • PowerPoint
2
13
Penilaian Berasaskan Sekolah
2
14
Penilaian Berasaskan Sekolah
2
15
Penilaian Pengalaman Pembelajaran
2

JUMLAH
30
Penilaian
Kerja kursus                60%
Peperiksaan Akhir       40%
Rujukan Asas
Kamariah Abu Bakar et. al. (1999). Pengujian dan Penilaian dalam Pengajaran. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Rujukan Tambahan
Bachman Lyle F. (1990).  Fundamental consideration in language testing.  Oxford: Oxford University Press.

Brown James Dean, Hudson Thom.  (2002).  Criterion-reference language testing.  Cambridge: Cambridge University Press



Lynch, Brian K. (2003).  Language assessment and programme evaluation.  Edinburg : Edinburgh University Press.

McGrath, Ian.  (2002).  Materials evaluation and design language teaching.  Edinburg: Edinburgh University Press.